KANOWIT: Seorang wanita warga emas berusia 80 tahun yang dilaporkan hilang di belakang rumahnya di Rumah Anggan, Nanga Kabah di sini pada Ahad ditemui dengan selamat hari ini (Isnin).
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit menerima panggilan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kanowit yang memaklumkan kehilangan mangsa pada jam 1.51 petang tadi (Isnin).

Susulan itu, jelas beliau, tiga anggota yang diketuai PBK II Awang Johari Awang Onget dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Menurut laporan pihak polis yang dibuat oleh ahli keluarga, mangsa disedari tiada di rumah pada jam 12.45 tengah hari pada Ahad.

“Keluarga mangsa mendedahkan bahawa mangsa mempunyai sakit nyanyuk dan ‘Parkinson’.
Keluarga mangsa dan penduduk kampung cuba mencari mangsa sekitar 2 kilometer dari kawasan kejadian namun gagal dijumpai,” ujar beliau.
Beliau berkata, pada kira-kira jam 3.32 petang operasi SAR telah digerakkan bersama pihak polis dan pihak bomba beserta 30 orang penduduk kampung yang dipecahkan kepada dua kumpulan.

Operasi SAR, jelasnya, tertumpu di sekitar kawasan Rumah Anggan, Nanga kabah (radius 2 km) daripada rumah panjang.
“Pada jam 3.45 petang, pasukan SAR telah menjumpai mangsa di kawasan hulu sungai dalam keadaan selamat namun lemah.
“Dengan penemuan mangsa tersebut maka operasi ditamatkan pada jam 4.30 petang,” katanya.