Wanita antara ditahan ingkar PKPB

KUCHING: Seorang wanita dan 11 lelaki tempatan dikompaun kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata kesemua mereka dikesan melakukan kesalahan berkenaan di kawasan Kota Sentosa, Batu 17, Batu 18 dan MJC Batu Kawa.

Katanya lima lelaki ditahan pada 26 Mei manakala enam lelaki dan seorang wanita ditahan semalam.

“Kesemua mereka gagal memberikan alasan yang munasabah dan tidak mempunyai surat kebenaran daripada polis untuk pergerakan keluar daerah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau menegaskan IPD Padawan tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan ingkar PKPB.

Aidil juga menasihatkan masyarakat agar lebih bertanggungjawab dan memberi kerjasama dalam membendung penyebaran Covid-19.

“Sekiranya tiada rasa tanggungjawab pada diri sendiri, agak mustahil kita dapat memutuskan penyebaran Covid-19 dan PKP atau PKPB akan berterusan.

“Sayangilah diri sendiri, keluarga dan masyarakat sekeliling,” katanya.

Aidil Bolhassan