KUCHING: Seorang wanita berputih mata apabila menanggung kerugian sebanyak RM408,928.10 selepas ditipu sindiket Macau Scam.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, kejadian malang menimpa mangsa, 45, pada 15 Ogos lalu apabila dihubungi oleh seorang suspek yang menyamar sebagai pihak Pos Laju Kuala Lumpur bahawa mangsa mempunyai bungkusan berupa kad pengenalan dan lima kad ATM.
Katanya, suspek berkata bungkusan tersebut tidak boleh dipos dan menyarankan mangsa untuk membuat laporan polis yang kononnya disambung talian ke IPK Ipoh, Perak kemudian disambut oleh suspek lain yang menyamar sebagai Sarjan Mohd Khairul Hasyim.
“Mangsa dikatakan terlibat dengan kes penggubahan wang haram dan waran tangkapan akan dikeluarkan terhadap mangsa.
“Mangsa telah dihubungi oleh ASP Mokhtar bagi proses siasatan awal dan seterusnya diminta untuk memindahkan wang yang ada dalam simpanan kepada juruaudit yang akan dilantik Mahkamah bagi memastikan tiada penglibatan wang haram dalam akaun bank mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azman berkata, mangsa yang panik telah memindahkan wang kepada empat akaun bank suspek sebanyak tujuh kali transaksi berjumlah RM57,940 pada 23 hingga 30 Ogos lalu.
Beliau memberitahu, pada 30 Ogos, mangsa sekali lagi telah dihubungi oleh suspek yang menyamar sebagai pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya menggunakan panggilan telefon dan mengatakan mangsa mempunyai cukai syarikat tertunggak sebanyak RM36,800.82 selama 15 bulan.
“Mangsa yang terpedaya telah membuat pinjaman di Bank Rakyat sebanyak RM200,000, Bank Muamalat sebanyak RM230,000, Bank BSN sebanyak RM60,000, Bank RHB sebanyak RM76,000 dan Bank Islam sebanyak RM95,000.
“Setelah semua pinjaman diluluskan, suspek mengarahkan kepada mangsa agar wang tersebut perlu dipindahkan kepada beberapa orang juruaudit yang dilantik kononnya bagi tujuan semakan,” jelasnya.
Katanya, mangsa terpedaya pada tarikh antara 22 September hingga 14 Oktober dan telah memindahkan wang kepada tujuh akaun bank suspek melibatkan tujuh kali transaksi berjumlah RM350,988.10.
Beliau berkata, jumlah kerugian adalah sebanyak RM408,928.10 melibatkan 14 kali transaksi kepada 11 akaun bank suspek.