Wanita cekal berhati waja

KUCHING: Peranan anggota wanita dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sangat penting dan diperlukan, kata Pengarah JBPM Sarawak Khirudin Drahman.

Menurutnya, kuota pengambilan anggota bomba wanita bermula pada 1984 dengan wujudnya Unit Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat).

“Sumber tenaga mereka diperlukan terutama sekali bagi mengendalikan mangsa wanita secara fizikal, kerana kita mahu wujudkan suasana yang selesa dan masyarakat juga memberikan jaminan kepada kita (bomba),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Pegawai Bomba Wanita di Ibu Pejabat JBPM Negeri Sarawak di sini, semalam.

Tambahnya, daripada 1,194 anggota bomba di Sarawak, seramai 65 orang atau 6.1 peratus merupakan anggota wanita.

“Ini menunjukkan keterbukaan jabatan kita melihat kepentingan anggota wanita kerana jika disebut tentang anggota penyelamat, masyarakat dominan melihat kepada guna tenaga lelaki.

“Bagaimanapun, peranan wanita dalam jabatan ini juga diperlukan termasuk memberikan jaminan ketika mengendalikan mangsa dalam aktiviti menyelamat,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, kebanyakan anggota wanita ini bertugas di balai seperti Bilik Gerakan, Pasukan ERMS dan sebagainya.

“Mereka telah dilatih sebagai anggota bertindak dan asas sokongan hidup yang membolehkan mereka mengendalikan mangsa,” tegasnya.

Dalam hal berkaitan beliau juga memberitahu, JBPM akan mempertingkatkan pengambilan anggota wanita untuk mengendalikan pelbagai aktiviti khususnya melibatkan suri rumah dan banyak lagi.

“Untuk menjadi anggota bomba wanita, kita memerlukan mereka yang cekal dan kuat dari segi mental dan fizikal untuk melepasi ujian saringan setaraf dengan lelaki.

“Kelonggaran diberikan kepada wanita ketika sesi pemilihan dari segi angkat berat dan sebagainya, tetapi untuk latihan lelaki dan wanita sama sahaja,” katanya lagi.

Sementara itu, wartawan Dayak Daily Nancy Nais ketika berucap memberitahu, penulisan laporan bersiri beliau dengan tajuk Female firefighter are real life wonder woman juga telah memenangi Anugerah Ketua Menteri Sarawak (English).

“Ekoran itu saya mendedikasikan kesemua hadiah kemenangan untuk pembayaran dan mencetak kalender JPBM Sarawak,” ujarnya.

Suara Sarawak