KUCHING: Seorang wanita didenda RM2,800 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana terlibat dalam judi atas talian.
Hakim Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman kepada Kuan Kah Hui, 24 yang mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Tertuduh yang beralamatkan Jalan Kuching, Serian didakwa mengendalikan mesin judi atas talian menggunakan sebuah telefon pintar di sebuah premis makanan di Batu 17, sekitar 11.20 pagi, 10 September lepas.
Menurut fakta kes, pihak polis telah membuat pemeriksaan terhadap wanita tersebut yang berada di kaunter kedai.
Laporan daripada pakar judi mengesahkan bahawa telefon pintar yang digunakan memaparkan nombor loteri awam tanpa lesen.
Selain telefon pintar, turut dirampas wang tunai berjumlah RM55.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM5, 000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hood Ismail.