KUCHING: Gara-gara terlibat dalam kegiatan loteri awam tanpa lesen, seorang wanita tempatan dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh Erma, 28, berasal dari Sri Aman, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zaiton Anuar.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa membeli loteri terbabit di sebuah kedai serbaneka di Pasar Siburan, sekitar jam 2.40 petang, 11 Ogos lalu.
Pendakwaan kes mengikut Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang memperuntukkan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000, atau penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, sepasukan polis menyerbu premis berkenaan dan menahan tertuduh kerana disyaki terlibat dalam kegiatan loteri haram.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit mengandungi digit dipercayai nombor loteri haram dan wang tunai berjumlah RM90.
Laporan daripada pakar judi mengesahkan bahawa telefon bimbit itu mengandungi nombor loteri.
Pendakwaan kes dikendalikan Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.