Wanita dikhuatiri hilang semasa aktiviti menyelam

KUCHING: Seorang wanita berusia 31 tahun dikhuatiri hilang selepas melakukan aktiviti menyelam pada kedudukan lebih kurang 23 batu nautika dari Pulau Satang berhampiran Telaga Air, semalam.

Mangsa bersama tiga penyelam yang lain dilaporkan melakukan selaman di laut pada posisi koordinat 02’10.236 Utara, 110’ 05.843 Timur sekitar jam 4 petang manakala dua lagi individu hanya menunggu di dalam bot.

Menurut adiknya mangsa disedari hilang apabila tidak timbul di permukaan lebih kurang satu jam 20 minit selepas terjun melakukan selaman kali kedua seorang diri di kawasan sama.

Pengadu seterusnya bersama rakan penyelam yang lain mencari mangsa di sekitar posisi tempat kejadian namun tiada sebarang petunjuk ditemui.

Dedahnya, dua rakannya mendakwa ada terdengar bunyi wisel dari laut namun tidak dapat mengesan arah bunyi tersebut sebelum bertindak melaporkan kepada pihak bomba sekitar jam 8 malam.

Sementara itu Timbalan Pengarah Operasi Angkatan Pertahanan Maritim Malaysia (APMM) Kapten Yousry Yaali berkata, Carilamat (mencari dan menyelamat) terus diaktifkan pada 9 malam susulan mendapat maklum mengenai laporan kejadian.

“Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di jeti awam Telaga Air pada jam 8 pagi tadi.

“Seramai 30 anggota petugas terdiri daripada pelbagai agensi dengan sebuah aset dari Maritim Malaysia, enam bot Pengawal, dua bot Pasukan Polis Marin (PPM), Bot PLC34 bersama Pasukan Penyelam telah diatur gerak bagi pencarian mangsa.

“Operasi Carilamat difokuskan dengan radius dua batu nautika dari posisi terakhir mangsa dipercayai hilang ketika melakukan selaman,” katanya dalam sidang media di jeti awam Telaga Air hari ini.

Tambahnya setakat jam 1 petang ini masih belum menemui sebarang petunjuk baharu mengenai mangsa di lokasi kejadian.

Suara Sarawak