Wanita diseru carum dalam Program SPS Prihatin Wanita

KUCHING: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyeru golongan wanita yang bekerja sendiri untuk mendaftar di bawah Program SPS Prihatin Wanita (SPW).

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 10 juta di bawah program tersebut.

Kata Mohammed Azman, seramai 148 orang wanita di seluruh negara yang telah mendaftar pada program tersebut yang telah dilancarkan pada 1 April yang lalu.

Sementara katanya, hanya sembilan orang wanita di negeri ini telah mendaftar di bawah SPW.

“Saya minta wanita di seluruh negeri ini yang bekerja sendiri untuk ambil peluang mendaftar di mana 70 peratus caruman adalah dari kerajaan dan 30 peratus adalah caruman oleh mereka sendiri.

“Ini adalah bantuan dari kerajaan untuk membantu kaum wanita yang bekerja sendiri. Oleh itu, wanita diminta untuk tampil mendaftar,” ujar Mohamed Azman sambil menambah pendaftaran boleh di buat di pejabat Perkeso di seluruh negeri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada tiga orang penerima yang mendaftar dan mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri (SKSPS) di Lobi Pejabat Pekeso Kuching, di sini hari ini.

Mohamed Azman bergambar bersama penerima sijil penghargaan di lobi Pejabat Perkeso Kuching.

Suara Sarawak