ARTIKEL

Wanita ditahan disyaki jadi keldai akaun ‘job scam’

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTANGOR: Seorang wanita ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan pekerjaan sambilan atau ‘job scam’ dengan bertindak sebagai keldai akaun yang menyebabkan mangsa mengalami kerugian RM1,131.

Suspek berusia 20-an ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong kira-kira 9.30 pagi, semalam, susulan siasatan ke atas laporan penipuan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superintenden Polis Tansli Mering berkata, siasatan awal mendapati mangsa mula terpedaya selepas melihat iklan tawaran pekerjaan sambilan menerusi aplikasi Instagram sebelum dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan di Telegram.

Katanya, mangsa kemudiannya diberikan tugasan untuk membuat tanda suka dan penilaian produk kosmetik serta barangan perhiasan yang kononnya menawarkan pulangan komisen lumayan.

“Bagaimanapun, sebelum tugasan berkenaan dapat dilaksanakan, mangsa diarahkan membuat pembayaran sebanyak RM1,131 sebagai sebahagian daripada proses tersebut,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, mangsa akhirnya menyedari telah diperdaya selepas wang berkenaan dipindahkan, menyebabkan jumlah kerugian yang dilaporkan mencecah RM1,131.

“Semakan lanjut mendapati suspek turut mempunyai kaitan dengan laporan polis berkaitan kes sama di daerah Kota Bharu, Melaka Tengah dan Ipoh,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun kira-kira jam 11.10 pagi semalam dalam Operasi Tapis di sekitar Bintangor kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

“Suspek dibawa ke IPD Meradong dan hasil ujian saringan air kencing mendapati dia positif amphetamine serta methamphetamine. Semakan rekod mendapati lelaki berkenaan mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU