Wanita ditemui mati tergantung di Stutong

KUCHING: Seorang wanita ditemui meninggal dunia dalam keadaan tergantung dengan jerutan sehelai kain tuala di lehernya di ruang tamu kediamannya berhampiran kawasan perumahan Stutong, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata, mangsa, 38, yang juga warga tempatan ditemui sekitar jam 1.10 tengah hari oleh rakannya sebelum membuat laporan kepada Pusat Gerakan IPD Kuching.

“Pemeriksaan pasukan kawalan Balai Polis Sungai Maong mendapati mangsa telah meninggal dunia akibat jerutan kain tuala mandi yang digantungkan di palang lampu di ruang tamu rumah.

“Siasatan awal menunjukkan tiada sebarang kesan kelakuan jenayah membabitkan kematian mangsa di lokasi kejadian,” jelasnya ketika dihubungi Suara Sarawak hari ini.

Dedahnya, si mati kali terakhir ada menghubungi kakaknya pada jam 8 malam sehari sebelum kejadian.

Menurutnya, saksi awal kejadian iaitu rakannya mendedahkan beliau membuat keputusan untuk menjenguk rumah mangsa selepas curiga berikutan mangsa gagal dihubungi beberapa kali.

Katanya, mayat telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan kini menunggu keputusan ujian Covid-19 sebelum bedah siasat lanjut dilakukan.

Ujarnya, siasatan kes masih diteruskan dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Suara Sarawak