Wanita ejen Black Market ditangkap

BAU: Tindakan berani seorang wanita menjual loteri haram membawa padah apabila dia ditangkap ketika sedang beroperasi di sebuah kedai kopi di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata ejen Black Market berusia 23 tahun dari Kampung Duyuh itu ditangkap dalam Ops Dadu yang dijalankan pasukan Bahagian Siasatan Jenayan Daerah Bau sekitar jam 3.40 petang.

“Suspek ditangkap kerana disyaki menjalankan kegiatan penjualan loteri tanpa lesen di kedai kopi Chin Siang Garden (bersebelahan pejabat MARA Daerah Bau/Lundu),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Turut dirampas daripada wanita terbabit ialah satu kertas putih yang tercatit angka disyaki loteri haram, sebatang pen, wang tunai, satu telefon bimbit dan dua kad sim.

Poge berkata suspek yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau akan disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM200,000 atau penjara lima tahun.

Wanita yang menjadi ejen menjual loteri haram ditahan ketika beroperasi di kedai kopi Chin Siang Garden di Bau.

 

Hasil rampasan daripada seorang wanita yang disyaki menjual loteri haram.