KUCHING: Masyarakat perlu mengubah stigma yang mengganggap wanita tidak mampu menjalankan tugas sebagai pemimpin.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Sri Aman Datuk Seri Doris Sophia Brodie berkata, terdapat segelintir masyarakat kurang yakin dengan kemampuan wanita memimpin.
Malah menurutnya, wanita sebenarnya berupaya memimpin setanding lelaki.

“Wanita dari segi fizikal mungkin tidak setanding lelaki tetapi mental dan cara pemikiran hampir sama.
“Semuanya berlandaskan kesanggupan, keyakinan diri dan keinginan untuk maju ke hadapan selain berada di lapangan bersama-sama lelaki,” katanya.
Menurutnya, terdapat kira-kira 62 peraus pelajar Intitusi Pengajian Tinggi (IPT) terdiri daripada wanita.
Tambahnya, sekiranya bakat wanita tidak diketengahkan, ia merupakan kerugian kepada negeri dan negara.
“Kalau kita tidak memberi peluang kepada wanita untuk memimpin, tiada guna kita menghantar anak-anak ke sekolah.
“Kita sekarang berada pada tahun 2022, saya rasa mentaliti yang memandang rendah kemampuan wanita tidak lagi perlu ada,” ujarnya.
Doris merupakan antara calon wanita diperkenalkan GPS bertanding di Parlimen Sri Aman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Selain Doris, GPS turut menampilkan calon wanita seperti Datuk Seri Nancy Shukri di Parlimen Santubong, Datuk Rubiah Wang (Parlimen Kota Samarahan), Datuk Hanifah Hajar Taib (Parlimen Mukah) dan Rodiyah Sapiee (Batang Sadong).