Trending

Wanita mati selepas beberapa jam sah jangkitan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Seorang wanita warga emas berusia 61 tahun menjadi mangsa terbaharu jangkitan wabak rabies menghembuskan nafas terakhir di Hospital Umum Sarawak pada jam 10.47 malam, Rabu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa yang berasal dari Pending disahkan jangkitan rabies melalui ujian makmal oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 12 Jun lalu, beberapa jam sebelum dia meninggal dunia.

“Kes ini mempunyai sejarah digigit oleh seekor anjing liar di bahagian ibu jari tangan kanannya pada 29 April lalu.

“Ia berlaku ketika mangsa cuba menghalau anjing tersebut yang sentiasa menyalak kepadanya,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Mangsa katanya, juga telah mencuci luka itu selama lima minit sebelum mendapatkan rawatan di sebuah klinik komuniti berhampiran rumahnya dan diberi temu janji seminggu kemudian.

Bagaimanapun, dia tidak mendapatkan rawatan susulan seperti yang ditetapkan kerana berpendapat, luka pada jarinya sudah sembuh. Pada 6 Jun, mangsa mula mengalami sakit dan tidak selesa di bahagian lengan tangan kanannya.

Dia kemudian mendapatkan rawatan di HUS pada 8 Jun dan dimasukkan ke Wad Penyakit Berjangkit serta diberikan Rabies Immunoglobulin (RIG).

“Keesokan harinya, dia mengadu loya, pening, susah menelan, sakit kepala, kesukaran untuk menelan air liur, tidak selesa di bahagian lengan tangan kanan dan lemah di bahagian bawah badan,” katanya lagi.

Kes ini merupakan yang ke-19 jangkitan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak sejak pengisytiharan wabak pada 1 Julai 2017, dengen 18 daripadanya meninggal dunia.

Daripada 19 kes tersebut, tiga kes dilaporkan pada tahun 2019.

Setakat ini, 62 kawasan di 11 Bahagian di seluruh Sarawak telah diisytiharkan sebagai kawasan wabak rabies, bermula di Serian.

Pada masa yang sama kata Dr Noor Hisham, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak telah mengeluarkan peringatan kepada semua pengamal perubatan di negeri ini agar memastikan pengurusan kes gigitan haiwan termasuk anjing dijalankan mengikut prosedur dan Panduan Pengurusan Kes Gigitan Haiwan di Sarawak.

Kes gigitan yang berisiko dan gagal mendapatkan rawatan susulan hendaklah dimaklumkan segera kepada pejabat kesihatan berhampiran supaya kes boleh dikesan.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

27 November 2023

Berita Terbaru