Wanita mengandung hadapi detik cemas rumah dirempuh kapal tunda

SIBU: Seorang ibu mengandung tujuh bulan terselamat selepas kediamannya di rempuh sebuah kapal di Kampung Hilir, semalam.

Mangsa berusia 40 tahun tersentak dengan kejadian tersebut yang berlaku sekitar jam 9.30 pagi.

Difahamkan punca kejadian berlaku disebabkan kapal terbabit dipercayai mengalami kerosakan enjin dan hanyut lalu merempuh rumah mangsa.

Lembaga Sungai Sungai Sarawak (LSS) Sibu semasa dihubungi memberitahu, mereka telah menerima aduan dan sedang menjalankan siasatan insiden tersebut.

Kata sumber LSS, kapal terbabit telah berjaya dibawa pemiliknya ke tempat lain.

Sementara itu, mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Sumui memberitahu semasa kejadian hanya dia seorang berada di rumah.

Tiga anaknya yang lain, jelasnya, sudah pergi ke sekolah sementara suaminya sudah pergi bekerja.

“Sebelum kejadian, saya ada mendengar jiran-jiran menjerit tetapi saya tak endah.

“Sehinggalah saya terdengar bunyi dentuman di depan rumah baharulah saya lihat kapal itu merempuh rumah kami. Mujurlah ia agak perlahan, seolah-olah ia dapat dikawal. Kalau tidak, saya rasa habis satu rumah akan roboh,” katanya ketika ditemui pemberita.

SIASAT…Pihak keselamatan sedang menjalankan siasatan.

Katanya, selepas itu dia menghubungi suaminya dan ada diantara jiran-jiran masuk ke rumahnya untuk menghulurkan bantuan.

Menurut Sumui, mereka sekeluarga sudah tinggal di rumah terbabit sejak dua tahun lalu.

“Saya tetap bersyukur kerana selamat walaupun kerosakannya agak merugikan,” jelasnya lagi.

Antara kerosakan akibat insiden terbabit ialah dinding rumah pecah, bumbung rumah ranap termasuk beberapa peralatan rumah lain turut rosak.

Sumui memberitahu suaminya telah membuat laporan di Balai Polis Sentral berhubung insiden terbabit.

“Saya berharap kejadian seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang. Alhamdulilah, semuanya selamat termasuk bayi dalam kandungan ini,” katanya lagi.

Agensi keselamatan seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) turut berada di lokasi bagi memastikan mangsa selamat.

RANAP…Keadaan rumah terbabit selepas dirempuh kapal terbabit.
SENGET…Keadaan rumah mangsa yang condong akibat insiden terbabit.
PENYEBAB…Kapal yang merempuh rumah terbabit.

Suara Sarawak