ARTIKEL

Wanita muda rugi RM18,090, terpedaya waktu beli kereta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MUKAH: Seorang wanita rugi RM18,090 selepas terpedaya dengan kes penipuan pembelian kereta melalui Facebook di daerah Mukah.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Muhammad Rizal Alias berkata, mangsa yang berumur 25 tahun itu merupakan pegawai alam sekitar dari sebuah syarikat tempatan di sini.

“Menurut mangsa, beliau telah melayari Facebook dan tertarik dengan satu iklan menjual kereta, kemudian menghubungi nombor telefon yang terdapat pada iklan tersebut.

“Mangsa telah berurusan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Andy Lau.

“Kemudian, mangsa menyatakan berminat untuk membeli kereta jenis Mitsubishi Triton GLS MR 2.4A 4X4 yang ditawarkan oleh suspek dengan harga RM28,900,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ujarnya, mangsa telah bersetuju untuk pembelian tersebut, seterusnya suspek mengarahkannya membuat pembayaran untuk urusan di Jabatan Pengangkutan Jalan dan insurans kenderaan.

Setelah membuat pembayaran seperti yang diarahkan oleh suspek, mangsa telah dihubungi oleh seorang lelaki bernama Ryan, untuk urusan pembayaran kos penghantaran kenderaan kepadanya.

“Mangsa telah melakukan sebanyak lima transaksi pemindahan wang keseluruhannya berjumlah RM18,090 ke empat akaun bank atas nama individu berlainan antara 19 Januari hingga 23 Februari 2024.

Baca lain  PSB tidak akan jalin kerjasama dengan DAP

“Beliau menyedari telah ditipu apabila suspek masih meminta bayaran untuk pelbagai tujuan dan tampil membuat laporan polis untuk tujuan siasatan,” jelasnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Justeru, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dalam urusan pembelian yang ditawarkan dalam talian dan perlu bijak mengenal pasti peniaga yang diyakini menerusi platform ‘online’ sebelum memuktamadkan sebarang pembelian.

Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh tawaran harga barang yang murah di media sosial dan membuat semakan kewujudan perniagaan sebelum melakukan pembayaran.

Orang ramai juga disarankan untuk membuat semakan senarai syarikat dan laman sesawang yang tidak diberi kebenaran atau kelulusan di www.bnm.gov.my / Bank Negara Malaysia (BNM) Telelink 1-300-88-5465 dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di www.sc.com.my / (603) 62048999.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Hina Premier Sarawak, tiga Setiausaha lapor polis

KUCHING: Tiga Setiausaha kepada Premier Sarawak bertindak membuat laporan polis berhubung kes dipercayai menfitnah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg oleh