Wanita parah angkara cuai

BINTULU: Seorang wanita cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan Perodua Alza berdekatan simpang Kampung Assyakirin, pagi semalam.

Wanita tanpa pengenalan diri itu dipercayai keluar secara tiba-tiba dari tepi jalan sebelah kanan secara mengejut menyebabkan kenderaan Perodua Alza yang dipandu seorang wanita berusia 30 tahun tidak sempat menekan brek lalu melanggar mangsa.

Ketika kejadian, pemandu Perodua Alza itu sedang bergerak dari arah ParkCity Commercial Square menuju Medan Central.

Mangsa yang cedera parah di kepala dirujuk ke Hospital Bintulu untuk tindakan lanjut.

Siasatan awal polis mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian wanita terbabit.

Sebelum kemalangan, mangsa dilihat berjalan dan berdiri di tengah jalan menahan kenderaan yang lalu lalang di hadapan jalan berdekatan Bangunan Bulan Sabit Merah Bintulu dan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan hal Ehwal Pengguna Bintulu, awal pagi semalam.

Suara Sarawak