ARTIKEL

Rodiah bersama bersama Ali Suhaili, Datuk Ambrose Cheng dan Pengurus Komunikasi Strategik, Media dan Hubungan Belia AZAM Sarawak, Hassnal Hakim selepas sesi rakaman podcast Kelaka Belia Episod 20.

Wanita perlu berani cipta ruang, bukan tunggu peluang – Rodiyah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Wanita perlu berani membina keyakinan diri dan mencipta ruang untuk berkembang dalam kerjaya serta kepimpinan, bukannya hanya menunggu peluang diberikan kepada mereka, kata Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee.

Beliau berkata, keberanian untuk menyuarakan pandangan, membuat keputusan dan menggalas tanggungjawab penting menjadi antara elemen yang perlu ada dalam diri wanita yang mahu melangkah lebih jauh.

“Pemerkasaan wanita bukan sekadar tentang peluang yang diberikan, tetapi juga bagaimana seseorang wanita membina keyakinan untuk mengambil peluang, mencipta ruang dan memainkan peranan dalam bidang yang diceburi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika tampil sebagai tetamu dalam Episod 20 audio siar KelakaBelia menerusi tajuk “Boss Lady: Wanita Perlu Tunggu Peluang atau Cipta Peluang?”, anjuran AZAM Sarawak dengan kerjasama Ibrandium.

Rodiah yang mempunyai pengalaman dalam bidang profesional dan khidmat masyarakat sebelum dipilih sebagai Ahli Parlimen, berkongsi perjalanan serta perspektifnya tentang realiti yang dihadapi wanita untuk melangkah lebih jauh dalam kerjaya dan kepimpinan.

Perbincangan tersebut turut menyentuh persepsi terhadap wanita yang tegas dan mempunyai cita-cita tinggi, tekanan untuk membuktikan kemampuan, cabaran mengimbangi tuntutan kerjaya dan keluarga serta kepentingan wanita memiliki keyakinan untuk menyuarakan pandangan dan terlibat dalam proses membuat keputusan.

Pengalaman beliau sebagai wakil rakyat Batang Sadong turut memberikan dimensi lebih luas kepada perbincangan apabila isu pemerkasaan wanita dilihat bukan sahaja daripada perspektif wanita profesional di bandar, malah peluang dan cabaran yang dihadapi wanita serta golongan muda di kawasan luar bandar.

Setiausaha Akhbar kepada Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Strategik AZAM bagi tempoh 2026–2028, Datuk Ambrose Cheng Loi Hee, berkata isu berkaitan wanita dan kepimpinan perlu terus dibincangkan dalam ruang yang dekat dengan generasi muda.

“Perbincangan tentang wanita dan kepimpinan perlu terus dibawa ke ruang yang lebih dekat dengan golongan muda.

“Perkara penting adalah untuk memberi ruang kepada setiap individu mengenal pasti potensi, membina keyakinan dan mengambil peluang bagi menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak, Ali Suhaili, berkata pemilihan topik berkenaan mencerminkan pendekatan KelakaBelia dalam membawa isu pembangunan masyarakat kepada golongan muda menerusi perbualan yang lebih terbuka dan mudah didekati.

“Pemerkasaan bukan sekadar tentang peluang yang diberikan kepada seseorang.

“Hal ini juga berkaitan dengan cara kita membina keyakinan untuk mengambil peluang, mencipta ruang dan memainkan peranan dalam bidang yang kita ceburi.

“Menerusi KelakaBelia, kita mahu isu seperti ini dibincangkan secara lebih dekat dengan belia supaya mereka bukan sahaja mendengar pengalaman seorang pemimpin, tetapi dapat melihat bagaimana pengalaman tersebut boleh menjadi pembelajaran dalam perjalanan mereka sendiri,” katanya.

KelakaBelia ialah wadah audio siar belia anjuran AZAM Sarawak dengan kerjasama Ibrandium yang mengetengahkan perbualan tentang isu, pengalaman dan perspektif yang dekat dengan generasi muda.

Episod 20 akan ditayangkan menerusi platform media sosial rasmi KelakaBelia termasuk Instagram, Facebook, TikTok, Threads dan YouTube, manakala versi audio boleh didengar menerusi Spotify pada Sabtu depan.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU

Langit Kalimantan bertukar jingga

JAKARTA: Seolah-olah babak dalam filem Mad Max, langit Kalimantan Tengah, Indonesia kembali diselubungi jerebu tebal berwarna jingga keperangan apabila kebakaran hutan dan tanah terus melanda

6 NEGERI TERIMA RM21.26 BILION

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM21.26 bilion kepada enam negeri yang ketinggalan dari segi pembangunan di bawah Belanjawan 2027 dengan agihan mengambil kira