Wanita perlu kemahiran dalam diri

KUCHING: Masyarakat khususnya golongan wanita perlu memandang serius isu kemahiran dalam diri. Mantan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Datuk Rodziah Morshidi berkata, para wanita khususnya golongan muda perlu mengkaji kemahiran dalam diri mereka.

“Mereka perlu menjadi lebih berkemahiran dalam apa sahaja yang dilakukan dan diceburi,” katanya ketika ditemui di Pustaka Negeri Sarawak, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, golongan wanita juga perlu mengembangkan kemahiran melalui kreativiti dan sebagainya dalam menjayakan apa sahaja tugasan yang diberikan.

“Apabila mereka berkemahiran, dengan cara itu mereka akan menjadi pekerja yang baik dan berkebolehan. “Disebabkan itu, penting untuk mereka terus mempelajari kemahiran dalam diri termasuk berusaha untuk mempertingkatkannya,” ujar beliau.

Dalam hal berkaitan, Rodziah memberitahu ketika berkhidmat beliau sentiasa mengingatkan kakitangannya untuk terus melihat “fail peribadi” mereka.

“Mereka bebas untuk melihatnya dan boleh melihat berapa banyak latihan yang diperlukan untuk mempertingkatkan kemahiran dalam diri.

“Pada saya, kita perlu mengakui kekurangan diri dan berusaha untuk mempertingkatkannya dari masa ke semasa,” tegasnya. Dalam hal berkaitan, beliau memberitahu kepimpinan yang baik juga penting kerana ia merupakan cerminan kepada integriti, keikhlasan dan kebaikan.

“Seorang ketua juga perlu mengamalkan sikap terbuka untuk mendengar segala permasalahan yang dihadapi oleh kakitangan. “Selain itu, perasaan gembira dalam kalangan kakitangan juga sangat penting kerana secara tidak langsung ia akan membantu menyumbang kepada produktiviti kerja,” tegasnya.

Suara Sarawak