Wanita PKR Sarawak intai lapan kerusi

KUCHING: Sayap Wanita Keadilan Sarawak mengintai lapan kerusi yang sekali gus menyaksikan pertambahan dua kerusi pada pilihan raya negeri akan datang.

Ketua Wanita Keadilan Sarawak Nurhanim Mokhsen berkata, pada pilihan raya negeri 2016, enam kerusi diperuntukkan kepada mereka.

“Setiap kali pilihan raya, kita berharap terdapat pertambahan calon dalam kalangan wanita. “Malah, ketika ini, kita mengenal pasti calon wanita di beberapa kawasan untuk diketengahkan pada pilihan raya negeri nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima watikah pelantikan sebagai penyelaras dalam Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sarawak (MTPNS) bagi Parlimen Petra Jaya yang disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya Baru Bian di sini semalam.

Bagaimanapun, Nurhanim menyerahkan segala keputusan untuk menentukan calon termasuk wanita kepada kepimpinan tertinggi parti.

Katanya lagi, dalam menghadapi pilihan raya negeri kelak, sayap Wanita Keadilan Sarawak telah bersiap sedia. “Kita mengadakan bengkel bersama-sama bakal calon yang berpotensi. Kita amat positif untuk memenangi beberapa kerusi berdasarkan senario politik yang telah berubah,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai pelantikannya sebagai ahli penyelaras dalam MTPNS, Nurhanim memberitahu, isu kemiskinan dalam bandar dan penyalahgunaan dadah amat dekat di hatinya bagi Parlimen Petra Jaya.

“Saya melihat dua isu ini sebagai satu cabaran dan saya akan bertemu dengan agensi terlibat dalam usaha mencari jalan serta menyalurkan dana,” ujarnya.

Suara Sarawak