Trending

Wanita selamat, sedar asap keluar dari kenderaan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Seorang wanita berusia 35 tahun berdepan detik cemas apabila kereta jenis Hyundai Atos miliknya terbakar secara tiba-tiba pagi hari ini.

Kejadian berkenaan berlaku di Jalan Ling Kai Cheng di Sibu pada pukul 9.52 pagi.

Pegawai Bomba Kanan Dua (PBK II) Shairulnizam Wailie berkata, kejadian itu berlaku selepas lima minit wanita terbabit dalam perjalanan dari sebuah kedai makan menuju ke pusat bandar.

“Kejadian ini berlaku di Jalan Ling Kai Chen, Sibu apabila mangsa yang berusia 35 tahun dalam perjalanan ke pusat bandar.

“Menurut mangsa, selepas lima minit memulakan perjalanan dari sebuah kedai makan, secara tiba-tiba asap keluar dari kenderaan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah Shairulnizam, melihat keadaan tersebut, mangsa terus memberhentikan kenderaan  dan bergegas keluar untuk menyelamatkan diri.

Menurutnya, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku akibat kejadian tersebut serta lokasi kejadian dari balai ialah sejauh empat kilometer.

“Sebaik menerima panggilan kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah, enam anggota bersama sebuah jentera pemadam bergegas ke lokasi kejadian.

“Apabila tiba di lokasi kejadian pihak bomba mendapati kereta terbabit telah terbakar pada tahap 90 peratus,” jelasnya.

Katanya, pihak bomba mengambil masa lebih kurang tujuh minit untuk mengawal kebakaran

Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian yang ditanggung oleh mangsa masih lagi dalam siasatan.

 

TERBAKAR … Kelihatan anggota bomba berusaha memadam kebakaran kereta di Jalan Ling Kai Cheng di Sibu, pagi tadi.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

27 November 2023

Berita Terbaru