ARTIKEL

Wanita tempatan didakwa terima deposit tanpa lesen RM1 juta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang wanita tempatan didakwa di hadapan Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan menerima deposit tanpa lesen berjumlah RM1 juta bagi penganjuran program Festival Muzik Borneo 2022, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, Pui Hui Lee, 40, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan dua Majistret berasingan.

Mengikut keempat-empat pertuduhan, dia didakwa menerima wang itu daripada seorang wanita berusia 46 tahun, tanpa lesen yang sah sebagaimana diperuntukkan mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Dia didakwa menggunakan nama sebuah syarikat rakaman studio dan pengurusan acara untuk menerima wang deposit yang dikatakan untuk penganjuran acara Festival Muzik Borneo 2022.

Hui Lee didakwa menerima wang tersebut secara berperingkat sekitar Mei 2021 hingga Disember 2021 di pejabat syarikat tersebut di Jalan Keranji.

Pertuduhan di bawah Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137 (2) akta yang sama iaitu penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM50 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret Syarifah Fatimah Wan ali membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan mahkamah berjumlah RM20,000 beserta seorang penjamin tempatan bagi satu pertuduhan.

Manakala, Majistret Mason Jaro Lenya Barayan membenarkan tertuduh diikat jamin tunai RM20,000 beserta seorang penjamin tempatan bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes pada 13 Jun depan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh dua Pegawai Pendakwa iaitu Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang dan Inspektor Ammarsoffi Yusoff.

Manakala tertuduh diwakili seorang peguam iaitu Russell Lim.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU