Wanita warga emas hilang di kebun ditemui pagi tadi

SARATOK: Seorang wanita warga emas berusia 72 tahun yang dipercayai pergi ke kebun dan dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke rumah di Rh. Udeng Ulu Budu pada Selasa ditemui selamat, pagi tadi.

Perkara itu disahkan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok PPgB Nazry Mohamat.

Katanya, mangsa Kanching Lesi ditemui di kebun dekat Rh. Ulu Lichok dalam keadaan letih.

“Ketika pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hendak mencari liputan talian telefon di luar kawasan pencarian, kita didatangi oleh penduduk dari Rh. Ulu Lichok mengatakan mangsa sudah ditemui kira-kira 10:15 pagi.

“Mangsa berada di kebun rumah panjang berkenaan dalam keadaan selamat namun keletihan iaitu tiga jam perjalanan dari Ulu Budu,” katanya ketika ditanya lanjut hari ini.

Jelasnya, siasatan awal bomba terhadap mangsa mendapati dia tersesat ketika hendak ke kebun.

Katanya lagi, mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Saratok untuk tindakan lanjut.

Operasi yang turut disertai polis, pertahanan awam dan penduduk kampung selepas itu ditamatkan pada 12:30 tengah hari.

Terdahulu, pada Selasa anak mangsa Moya Anjie memberitahu ibunya tidak muncul di kebun seperti kelaziman dan memaksanya membuat laporan polis untuk mendapatkan bantuan.