Warga Britain meninggal dunia ketika dikuarantin di Miri

MIRI: Seorang lelaki warga Britain dilaporkan meninggal dunia selepas mengadu tidak sihat ketika dikuarantin di sebuah hotel di sini pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, Thomas Holmes, 48, meninggal dunia pada sekitar jam 3.30 petang di Bahagian Kecemasan Hospital Miri.

Menurut beliau, pihak polis menerima laporan daripada seorang pengurus sebuah syarikat pada jam 4.49 petang semalam selepas dimaklumkan ketuanya dari ibu pejabat di Kuala Lumpur mengenai kematian Thomas pada kira-kira jam 11 pagi Sabtu lalu.

“Si mati telah dihantar ke Hospital Miri menggunakan ambulans selepas mengadu tidak sihat kepada anggota Medic Shell yang juga berada di hotel berkenaan.

“Ujian swab Covid-19 dilakukan ke atas si mati pada tarikh kematian dan disahkan negatif,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Selain itu, tambahnya, bedah siasat akan dilakukan ke atas mayat dalam masa terdekat.

“Si mati tiba di Miri pada 4 Jun lalu dari Kuala Lumpur atas urusan kerja dan ditempatkan di hotel itu untuk dikuarantin selama sembilan hari,” jelas beliau.

Ujar Meng Seah, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.