Warga emas curi dan jual forklift di kedai besi buruk

KUCHING: Seorang warga emas ditangkap kerana mencuri sebuah jentera angkat susun (forklift) milik syarikat kejuruteraan di kawasan Bintawa dan menjualnya di kedai besi buruk.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 60-an itu ditangkap di rumahnya di Bintawa, 1 petang semalam.

Katanya tangkapan terhadap suspek dibuat dalam tempoh 48 jam selepas kes dilaporkan syarikat berkenaan pada 7.30 pagi Isnin lalu, sebaik sahaja menyedari forklift berkenaan hilang.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya mengesan kedudukan kenderaan berat itu di sebuah premis jual beli barang lusuh di Pending.

“Berdasarkan rampasan dan semakan dari premis terbabit, membawa kepada tangkapan suspek, dalang kes ini.

“Turut ditemui empat tayar forklift yang masih disimpan di kediamannya di Bintawa,” kata Merbin dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Merbin, hasil soal siasat, suspek memberitahu dia mengupah sebuah kren dan lori 10 tan untuk memindahkan forklift berkenaan yang diletakkan di tepi jalan untuk dijual di kedai besi buruk terbabit.

“Tindakan mengesan suspek yang turut membantu warga emas ini sedang dijalankan,” katanya.

Katanya ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan denda.

Suara Sarawak