SIBU: Seorang lelaki warga emas ditahan selepas cuba melarikan diri dalam operasi polis ke atas lokasi dipercayai ‘port’ sabung ayam di Nanga Lango, Entabai Julau, semalam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Julau, Deputi Superitenden Polis (DSP) Andam Sulin berkata, suspek berusia 59 tahun diberkas selepas bertindak melarikan diri ke dalam hutan bersama sekumpulan individu yang lain ketika serbuan kira-kira jam 1.30 petang itu.
“Polis turut merampas lima ekor ayam hidup, satu unit alat penimbang dan satu papan putih tertulis jadual pertaruhan.

“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tiga bulan atau denda RM500 di bawah Seksyen 5(3) Ordinan” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, operasi itu merupakan usaha polis untuk mengekang kegiatan perjudian pertaruhan sabung ayam
terutama di kawasan Julau dan Pakan.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 3(1) Ordinan Langkah-Langkah Pencegahan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962
“Jika disabitkan kesalahan, kesemua suspek boleh dihukum mengikut Seksyen 5(3) ordinan yang sama yang boleh dipenjara tiga bulan atau denda RM500,” jelasnya.