PADAWAN: Seorang warga emas ditangkap kerana menetak jirannya, selepas mereka berselisih faham berpunca daripada kemalangan kecil berhampiran rumah masing-masing.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 3.15 petang semalam di Lorong 1A Taman Victory Jalan Stapok Utama di sini.
Katanya kejadian berpunca daripada suspek yang berusia 96 tahun, telah mengundur keretanya dan melanggar kereta isteri mangsa.
“Mangsa kemudian cuba berbincang dengan suspek namun suspek dalam keadaan marah terus mengambil parang daripada keretanya dan melibas ke aras mangsa.
“Akibat itu mangsa mengalami kecederaan di belakang badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jaw Shyong berkata susulan laporan polis yang di buat mangsa di Balai Polis Kota Sentosa, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (JSJ IPD) Padawan telah menahan suspek kira-kira jam 10.45 malam di rumahnya serta turut merampas parang yang digunakannya.
Bagaimanapun, katanya ketika disoal-siasat, suspek menafikan telah mencederakan mangsa, dengan mengatakan mangsa cedera sendiri.
“Punca perselisihan faham adalah kerana kereta mangsa telah dilanggar oleh suspek dan suspek enggan membayar ganti rugi,” katanya.
Jaw Shyong menambah mangsa dan suspek sudah tinggal berjiran selama 12 tahun di taman perumahan berkenaan.
Katanya mereka juga pernah berselisih faham sebelum ini kerana menuduh satu sama lain merosakkan tanaman yang ditanam di hadapan rumah masing-masing.
Beliau berkata kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

