SERIAN: Seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun ditemui mati di dalam sebuah rumah tidak bernombor di Lorong 5, Kampung Cina Tapah, semalam.
Mayat dijumpai orang awam sebelum melaporkan kejadian di Balai Polis Tapah sekitar jam 2.15 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Lim Jaw Shyong yang mengesahkan kejadian menambah mayat terbabit telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Serian untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, si mati dikenali sebagai Suhaimi Anuar dan berstatus sebagai penduduk tetap di kampung berkenaan.
“Mana-mana individu yang mengenali mangsa termasuk waris mahupun majikan diminta tampil bagi membantu siasatan dan urusan pengebumian si mati,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan si mati turut boleh menghubungi balai polis Tapah di talian 082-867236 atau Ketua balai SM Hud Isa di talian 019-8682525.
Ujarnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut(SDR).