
MUKAH: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika mencari asam paya di Jalan Balingian Mukah dijumpai dalam keadaan selamat, pada jam 1.30 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias, berkata, mangsa ditemui kira-kira lebih kurang 1.5 kilometer dari radius pencarian oleh anggota Jabatan Sukarelawan (RELA) Mukah.
Susulan itu katanya, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Mukah menggunakan kenderaan Unit Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan susulan.
“Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk penduduk kampung yang membantu mencari dan menyelamatkan warga emas ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Shahminan Mokhtar, 81, yang berasal dari Kampung Tutus Hilir, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya untuk mencari asam paya pada Ahad.
Berikutan itu Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dilancarkan pada jam 9.31 malam sebelum disambung semula hari ini.
“Menurut keluarganya, mangsa telah keluar seorang diri untuk mencari buah asam paya sebelum disedari tidak pulang ke rumah sehingga laporan kehilangannya dibuat pada sebelah malam,” katanya.