Warga emas hilang selepas ke kebun

SARATOK: Seorang wanita warga emas berusia 72 tahun yang dipercayai pergi ke kebun dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke rumah di Rh. Udeng Ulu Budu dekat sini, semalam.

Menurut anaknya Moya Anjie, ibunya yang dikenali sebagai Kanching Lesi lazimnya akan ke kebun pada 8:00 pagi.

“Saya keluar ke kebun sekitar 6:00 pagi dan kebiasaannya dia (ibu) akan turut ke kebun lewat sedikit iaitu kira-kira 8:00 pagi.

“Namun, selepas beberapa ketika ibu saya tidak muncul di kebun sehingga saya terpaksa pulang ke rumah panjang untuk mencarinya.

“Walau bagaimanapun saya dimaklumkan oleh penduduk bahawa dia telah keluar ke kebun,” katanya dalam laporan.

Katanya lagi, bimbang dengan keadaan si ibu yang sudah tua dia bersama penduduk kampung terus berusaha mencari di sekitar kawasan kebun, namun gagal menemukan apa-apa sehingga laporan dibuat.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok PPgB Nazry Mohamat turut mengesahkan perkara berkenaan selepas menerima panggilan kecemasan daripada IPD Saratok pada 6:41 petang.

Nazry memaklumkan operasi mencari dan menyelamat sudah digerakkan sejak malam tadi meliputi radius satu kilometer (km) dan tiga km yang turut dibantu 40 penduduk kampung.

Walaupun begitu, operasi ditangguhkan pada 10:30 malam ekoran hari semakin gelap.

Operasi disambung hari ini.

Suara Sarawak