MIRI: Seorang wanita warga emas maut dibaham buaya ketika bersama anak perempuannya mencari siput di sebuah anak sungai yang bersambung dengan Sungai Suai, Batu Niah, di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa, Sambai Anggah, 78, berada di dalam perahu ketika disambar buaya dalam kejadian kira-kira jam 11.26 pagi.
“Anak perempuan mangsa berusia 31 tahun yang berada di dalam sungai kira-kira satu meter dari perahu menyaksikan kejadian berkenaan.
“Buaya terbabit kemudian mengheret mangsa kira-kira 10 meter dari perahu sebelum melepaskannya selepas dikepung penduduk kampung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian ditemukan penduduk kampung dalam keadaan terapung sebelum dibawa ke jeti berhampiran.
Katanya, lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah bersama sebuah jentera FRT dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 11.26 pagi.
“Pasukan tiba di lokasi pada jam 11.58 pagi dan menjalankan pemantauan di sekitar kawasan kejadian bagi memastikan keadaan selamat serta terkawal.
“Operasi kawalan selesai pada jam 12.33 tengah hari sebelum pasukan kembali ke balai dan operasi ditamatkan pada jam 1.45 petang,” katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi turut dibantu lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).




