Warga emas maut dilanggar lori

SERIAN: Seorang lelaki warga emas maut akibat dilanggar sebuah lori, dalam kemalangan yang berlaku sekitar jam 7 malam semalam di Kilometer 47, Jalan Kuching-Serian di sini.

Mangsa yang berusia 84 tahun dan berasal dari Taman Desa Damai, Jalan Sibiyu, Bintulu dilanggar ketika sedang melintas jalan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata mangsa mengalami kecederaan di kepala dan kaki meninggal dunia di dalam ambulan ketika dibawa ke Hospital Serian.

Manakala, pemandu lori terbabit yang berusia 50 tahun dari Kampung Isu,Simunjan tidak mengalami kecederaan.

“Mangsa dikatakan tiba-tiba melintas jalan, menyebabkan lori yang datang dari arah Kuching telah terlanggarnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alexson menambah semasa kejadian, keadaan lokasi adalah gelap di mana lampu jalan tidak berfungsi dan cuaca dalam keadaan baik.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Keadaan di Kilometer 47, Jalan Kuching-Serian yang gelap di mana mangsa dilanggar oleh sebuah lori.