KUCHING: Seorang lelaki warga emas meninggal dunia dalam insiden kemalangan jalan raya di Kilometer 13 Jalan Kampung Daun Bau-Matang, di sini, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Jalley Sa-Uu berusia 66 tahun maut di lokasi susulan kejadian sekitar jam 1.20 tengah hari.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu yang mengesahkan kejadian berkata, kematian mangsa disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejurus membuat pemeriksaan ke atas mangsa di lokasi kejadian.
“Kejadian dipercayai berpunca setelah motosikal mangsa keluar dari simpang secara mengejut lalu menyebabkan pertembungan dengan sebuah kereta yang bergerak dari arah Jalan Kampung Sagah menuju ke Bau.
“Akibatnya mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Paramedik Ambulans Hospital Bau di tempat kejadian manakala pemandu di dalam Proton Saga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.