
SIBU: Seorang lelaki warga emas maut dalam kemalangan kendiri setelah kereta yang dipandunya melanggar pokok di tepi Jalan Bawang Assan, Kampung Bukit Bedai di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataannya berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 7.35 pagi.
Susulan itu, katanya, BBP Sungai Merah menggerakkan 10 anggotanya yang diketuai komander operasi PBK II Mohd Faizal Bujang beserta sebuah jentera FRT dan ERMS ke lokasi kejadian yang dianggarkan 28 kilometer dari balai.
“Kemalangan kendiri melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Kenari dipercayai hilang kawalan lalu melanggar sebatang pokok di tepi jalan.

“Mangsa telah tersepit di tempat duduk pemandu dalam tidak sedarkan diri,” jelasnya.
Pasukan penyelamat kemudian, ujarnya, menggunakan ‘spinal board’ dalam usaha kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tidak sedarkan diri.
Beliau memberitahu, mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 8.12 pagi dan diberi rawatan awal oleh Unit EMRS sementara menunggu ketibaan pihak paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pihak paramedik KKM dan diserahkan kepada pihak polis
untuk tindakan selanjutnya,” katanya sambil menambah operasi ditamatkan pada jam 9 pagi.
Menurut maklumat dari Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, mangsa dikenali sebagai Ahjon Sumbang @ Aju Sumbang berusia 70 tahun.