Warga emas maut langgar tali pengikat lembu di Kampung Sungai Alo Mukah

MUKAH: Seorang warga emas maut (pembonceng) apabila motosikal yang dinaiki bersama suaminya terlanggar tali pengikat lembu di Jalan Kampung Sungai Alo Mukah pada petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau kejadian berlaku semasa penunggang bersama isterinya Habibah Jaraee 60 dalam perjalanan balik ke rumah.

“Setibanya di tempat kejadian mangsa telah terlanggar tali pengikat lembu yang melintas jalan sehingga menyebabkan motosikal hilang kawalan dan kedua-duanya terpelanting di atas jalan.

“Akibat kejadian tersebut kedua-dua mereka mengalami kecederaan di kepala dan dibawa oleh orang awam ke Hospital Mukah,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak hari ini.

Bagaimanapun isteri mangsa meninggal dunia di rumahnya pada jam 8.21 malam semalam di Kampung Sungai Alo setelah Pegawai Perubatan Hospital Mukah membenarkannya pulang kerana tidak dapat diselamatkan.

“Doktor Hospital Mukah mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan dalaman di kepala.

“Bagaimanapun suami mangsa yang bekerja sebagai nelayan mengalami calar dan cedera di kepala,” ujarnya.

Kes di siasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.