KUCHING: Seorang lelaki warga emas disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) ekoran kecederaan dialaminya akibat terbabit kemalangan di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakop, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.40 pagi apabila mangsa, 68, yang menunggang motosikal terbabit kemalangan dengan sebuah kereta yang dipandu oleh seorang wanita.
“Pemandu motokar, seorang wanita tempatan berumur 26 tahun memandu seorang diri dari arah bulatan Sesco menghala ke bulatan Semariang telah berlanggar dengan sebuah motosikal.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah telah dibawa ke HUS untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala manakala pemandu motokar tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.