Warga emas maut motosikal bertembung kereta

KUCHING: Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 20 Jalan Lundu-Bau, berhampiran Kampung Stungkor Baru semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 6.30 petang semalam ketika mangsa yang berusia 60 tahun dari Kampung Gumbang, Jalan Bau Serikin dalam perjalanan dari arah Kuching menuju ke Lundu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kereta Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun dari Kampung Biawak, Lundu.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Lundu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.