BETONG: Seorang lelaki melecur selepas kediamannya sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal terbakar di Rumah Lintang Nanga Kerit, Lubok Antu di sini, awal pagi tadi.
Insiden kira-kira jam 2.45 pagi itu mengakibatkan mangsa berusia lingkungan 60-an mengalami kecederaan di bahagian muka dan tangan.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 2.50 pagi.
“Pasukan bomba mengambil masa untuk ke lokasi kerana kediaman mangsa hanya boleh dilalui dengan sebuah jambatan gantung.

“Setibanya di lokasi, kediaman itu sudah terbakar 90 peratus.
“Sementara mangsa yang cedera dikejarkan ke kilinik berdekatan dengan bantuan penduduk kampung,”katanya dalam satu kenyataan.
Ujarnya sebagai tindakan lanjut, bomba melakukan pemadaman susulan sebelum operasi berakhir pada jam 5.40 pagi.
“Jumlah kerugian dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” tambahnya.