KUCHING: Seorang lelaki warga emas di Miri hilang setengah juta apabila wang dilaburnya dalam mata wang digital dilesapkan sindiket penipuan pelaburan dalam talian.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, mangsa yang merupakan pesara berumur 60-an itu membuat laporan polis pada semalam.
Katanya, mangsa telah berkenalan dengan seorang wanita bernama Xin Alice Yu yang berasal dari Australia menerusi aplikasi Linked In pada Mac lalu sebelum berhubung melalui aplikasi Whatsapp selepas itu.
“Suspek kemudian telah mengajak mangsa menyertai pelaburan mata wang digital USDT seperti Bitcoin, Ethereum dan lain-lain.
“Mangsa seterusnya diajar suspek melalui Whatsapp sebelum mendaftar dan membuka akaun di laman sesawang mercatoxin.com bagi memulakan pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sepanjang urusan pelaburan itu, mangsa perlu berhubung dengan perkhidmatan pelanggan di laman sesawang berkenaan sebelum memasukkan wang digital ke dalam akaun yang diberikan suspek.
Katanya, mangsa kemudian telah melakukan 19 transaksi pemindahan wang keseluruhan berjumlah lebih kurang RM500,000 ke sembilan akaun yang berbeza antara awal bulan April hingga Julai lepas bagi memasukkan wang digital ke dalam akaun pelaburan mangsa.
“Mangsa hanya menyedari ditipu setelah gagal mengeluarkan wang dari akaun mata wang digital miliknya.
“Selain itu, suspek turut mengarahkan mangsa membuat pelbagai bayaran tambahan seperti pembayaran cukai, bayaran pengeluaran dan sebagai,” katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk siasatan selanjutnya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan.
Kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat dan bolehlah juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.