Warga Indonesia dikhuatiri tenggelam di Batu Niah

MIRI: Seorang warga Indonesia hilang disyaki tenggelam bersama sebuah bot di Sungai Batang Suai, Batu Niah, hari ini.

Maklumat awal mendapati bot yang dinaiki oleh tiga warga Indonesia bersama muatan kelapa sawit menuju ke Kilang Green Field karam ketika hendak menyeberangi sungai berkenaan.

Dua orang daripadanya bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh orang awam yang sedang memancing di kawasan berdekatan.

Menurut kenyataan daripada Pusat Gerakan Operasi Bomba Miri, operasi mencari Yanto Olin, 34, diteruskan dengan menggunakan satu bot bomba dan 2 bot penduduk kampung di sekitar kawasan kejadian.

Laporan insiden terbabit telah dilaporkan kepada pihak BBP Miri pada jam 10.11 pagi.

Komandernya, PBKII Abang Mohd Fadzil berkata operasi disertai seramai enam anggota bomba, lima anggota Polis Diraja Malaysia(PDRM) serta enam penduduk kampung yang hadir membantu mencari mangsa.

Pasukan Bomba dan penduduk kampung sedang mencari mangsa hilang di sekitar kawasan kejadian