KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana masuk ke Malaysia tanpa permit perjalanan yang sah.
Mohammad Reza, 23, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh didenda mengikut Seksyen 6(3) akta yang sama dibacakan di hadapan Hakim Saiful Bahari Adzmi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa berada di negara ini ketika ditangkap di sebuah premis kedai, Jalan Kereta Api, kira-kira jam 8.30 malam, 19 Julai lalu.
Sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan maksimum enam sebatan.
Saiful memerintahkan tertuduh diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas menjalani hukuman penjara.
Menurut fakta kes, tertuduh ditangkap pihak polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Padawan dalam satu serbuan di premis di Jalan Kereta Api.
Hasil siasatan, mendapati tertuduh telah masuk ke Malaysia dan berada di Sarawak tanpa permit yang sah.
Semakan dalam pangkalan data Imigresen mendapati tertuduh juga tidak mempunyai rekod keluar masuk ke negara ini selain tiada mempunyai dokumen dan pasport.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.