Warga Indonesia ingkar PKP dihantar ke rumah berhantu

SRAGEN: Disebabkan sikap orang ramai yang asyik melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP), ahli politik di Indonesia bertindak menggunakan cara menakutkan dengan mengunci mereka di dalam “rumah berhantu”.

Ketua Daerah Sragen Kusdinar Untung Yuni Sukowati berkata, beliau mengeluarkan arahan luar biasa itu pada minggu ini bagi menangani jumlah tinggi orang yang memasuki daerah susulan sekatan pergerakan di ibu kota Jakarta dan bandar utama yang lain.

Beberapa pendatang baru bagaimanapun tidak mematuhi arahan untuk mengasingkan diri 14 hari dalam mencegah penularan Covid-19 di kepulauan Jawa yang padat penduduk.

Justeru, Sukowati mengarahkan agar menggunakan semula rumah yang ditinggalkan dan dipercayai berhantu itu untuk menghukum pesalah.

Setakat ini, lima individu yang melangar perintah kuarantin dikurung di dalam ‘rumah berhantu’ Sragen terbabit.

“Jika ada rumah kosong dan berhantu di desa, letakkan orang di sana dan kunci mereka,” kata Sukowati kepada AFP Selasa ketika ditanya peraturan itu.

Sementara itu, pegawai di perkampungan Sepat memilih sebuah rumah yang sudah lama ditinggalkan namun dilengkapi tempat tidur yang dijarakkan dan dipisahkan dengan tirai.

Setakat ini, kampung tersebut sudah mengurung tiga penduduk yang baru tiba bagi menjalani kuarantin selama dua minggu di tempat tinggal yang menakutkan itu. – AFP

Suara Sarawak