Warga Sibu jangan panik, jangan percaya khabar angin

SIBU: Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh menasihatkan warga Sibu agar tidak mempercayai sebarang khabar angin mengenai situasi pandemik COVID-19 di sini.
Beliau menyatakan terlalu banyak khabar angin disebarkan melalui media sosial yang boleh membuatkan orang ramai panik.
“Khabar angin banyak berlaku di Sibu bahawa terdapat keputusan positif COVID-19 ada di Sibujaya, Sekuau sampai ke Selangau susulan dari Kluster Pasai.
“Saya telah memeriksa dengan Jabatan Kesihatan Bahagian Sibu, mereka mengatakan bahawa mereka ada melakukan pengesanan atau carian kes secara aktif (ACD) di kawasan tersebut.
“Pasti ada PUI (orang yang disiasat) tetapi individu-individu ini tidak positif. Saya menekankan lagi, mereka tidak positif,” katanya di sini, hari ini (Ahad).

CLARENCE TING…

Sehubungan itu, Ting memberitahu semalam (Sabtu) terdapat dua penerbangan dengan lebih dari 300 orang pulang dari Kuala Lumpur ke sini.
Kata beliau, kesemua mereka semua berada di bawah kuarantin selama 14 hari.
Bercakap mengenai Kluster Pasai, beliau mendedahkan pada masa ini penduduk rumah-rumah panjang sedang giat melakukan ujian saringan (Swab Test) yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Bahagian Sibu.
Bagaimanapun, katanya, keputusan hanya akan diketahui pada Selasa ini (12 Januari).
“Minggu depan akan menentukan betapa seriusnya keadaan COVID-19 di Sibu.
KUASA KHABAR ANGIN…Pasaraya terkemuka di Sibu kelihatan lenggang apabila khabar angin tersebar luas semalam yang mengatakan salah seorang pekerjanya positif COVID-19 susulan Kluster Pasai.

“Sementara itu, jangan bertindak balas terhadap khabar angin, ingatlah bahawa kita berpotensi melawan wabak pandemik ini di Sibu.
“Sila ambil langkah berjaga-jaga untuk diri anda dan keluarga anda. Berhati-hati, ingatlah amalkan prosedur operasi standard (SOP) untuk kekal selamat,” tambah beliau.
Tinjauan mendapati sebuah pasaraya terkemuka di sini hari ini iaitu Star Mega Mall lenggang selepas khabar angin tersebar yang mengadakan terdapat seorang pekerjanya positif COVID-19 susulan Kluster Pasai.
Bagaimanapun, kesahihan khabar angin itu belum ada kepastiannya lagi.
Terdapat juga pihak MPS serta Jabatan Kesihatan Bahagian Sibu menjalankan pensanitasi sebuah pasar basah di Sungai Merah di sini yang telahpun ditutup serta-merta semalam (Sabtu).
Rentetan itu, Ting enggan mengulas lanjut namun mengingatkan sekali lagi warga Sibu agar tidak mempercayai khabar angin serta menghentikan dahulu segala majlis perhimpunan sejajar dengan SOP di zon jingga.
“Segalanya akan terjawab pada Selasa ini. Adalah lebih baik kita berjaga dan jangan keluar rumah kalau tiada urusan penting,” jawabnya ringkas.