Warga Sibu Jaya berdisiplin, tidak lanģgar arahan PKPD

SIBU: Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit lega apabila penduduk rumah pangsa dan perumahan Town Villa di Sibu Jaya mematuhi sepenuhnya peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang kini masuk hari ke-4, hari ini.

Katanya ketika dihubungi sebentar tadi, segala peraturan yang berkaitan dengan PKPD telah dipatuhi kira-kira 6,000 penduduk yang mendiami kedua-dua penempatan tersebut.

“Sepanjang tiga hari lalu tidak termasuk hari ini, tiada sebarang laporan mengenai salah laku penduduk membabitkan melanggar PKPD.

“Semua penduduk kekal berada di rumah masing-masing dan ini menunjukkan tahap disiplin yang tinggi dan bersungguh-sungguh bekerjasama dengan kerajaan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” ujar beliau.

Stanley memberitahu buat masa ini penduduk akur dengan arahan kerajaan dan tidak menimbulkan sebarang masalah kepada pihaknya termasuk di dua sekatan jalan raya (SJR) menuju kedua-dua penempatan tersebut.

DISEKAT…Salah satu SJR yang dipasang dawai berduri bagi menghalang pergerakan keluar penduduk di kedua-dua penempatan tersebut.

“Sehingga kini kita tidak ada rekod tangkapan individu yang melanggar PKPD di kawasan tersebut.

“Kita berharap kerjasama ini akan berterusan dan dapat menuju matlamat kita agar PKPD dapat ditamatkan dengan tiada sebarang kes dilaporkan,” kata beliau.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai menjelaskan mungkin terdapat perubahan dengan SOP PKPD di kedua-dua penempatan tersebut susulan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa hari ini.

Katanya, perubahan SOP itu kelak akan diumumkan dari masa ke semasa bergantung kepada keperluan.

“Garis panduan prosedur operasi SOP PKPB itu boleh didapati di laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN),” ujar beliau semasa dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, Sempurai turut menyeru agar penduduk yang terlibat dalam PKPD supaya kekal bertenang dan mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Apa yang penting terus kekal berada di rumah masing-masing.

“Saya faham keadaan ini amat sukar tetapi demi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 ini, kita tiada pilihan. Kerjasama anda amat diperlukan,” tegas beliau.

Rentetan itu, beliau berharap penduduk di kedua-dua penempatan tersebut agar terus tabah menjalani PKPD ini sehingga 25 Februari ini.

“Kita berharap ada perubahan dalam SOP PKPD di dua kawasan berkenaan bagi keselesaan penduduk yang terlibat. Kalau tiada perubahan teruskan tabah menempuhi PKPD ini,” tambah Sempurai.

Suara Sarawak