SARIKEI: Impian warga Sekolah Kebangsaan (SK) Muara Payang untuk mendapatkan dewan serbaguna baharu akhirnya kesampaian dengan terbinanya kemudahan yang bernilai RM400,000.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, dana bagi pembinaan kemudahan berkenaan disalurkan melalui peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Projek pembinaan dewan itu katanya, kini siap sepenuhnya dan dapat dimanfaatkan oleh warga sekolah untuk melaksanakan pelbagai aktiviti.

“Perlaksanaan projek ini merupakan salah satu inisiatif saya untuk menyediakan kemudahan terbaik yang diperlukan oleh sekolah ini.
“Saya berusaha mendapatkan peruntukan bagi tujuan pembinaan dewan itu dan akhirnya berjaya,” katanya pada majlis perasmian dewan itu, di sini, semalam.
Pada masa yang sama, beliau yang juga ADUN Kuala Rajang berharap kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.
Menurutnya, projek berkenaan juga sebahagian inisiatif kerajaan dalam usaha menyediakan kemudahan terbaik kepada rakyat khususnya di pedalaman dan luar bandar.
“Sudah pasti, usaha kerajaan tidak tertumpu kepada soal pembangunan infrastruktur tetapi merangkumi segenap sudut termasuk pendidikan di samping meningkat taraf ekonomi rakyat melalui pelbagai pendekatan yang sesuai, ” katanya.
Hadir sama, Penyandang kerusi Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab; Guru Besar SK Muara Payang, Micheal Brenden Sipang dan ketua-ketua masyarakat.