KUCHING: Pihak Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Selangor kini sedang mencari dan mengesan ahli keluarga serta waris kepada seorang pesakit yang tidak mempunyai sebarang rekod pengenalan yang kini mendapat rawatan di wad psikiatrik hospital tersebut.
Pesakit yang tidak dapat dikenal pasti nama sebenarnya tidak dapat memberikan maklumat mengenai ahli keluarga pesakit kesan daripada penyakit yang dihidapi beliau serta sepanjang berada di hospital, tiada waris mahupun kenalan datang melawatnya.
Beliau mula dimasukkan ke wad pada 24 Mei 2021 kerana telah dibawa ke hospital oleh pihak polis setelah didapati merayau di kawasan awam sekitar Klang tanpa pengenalan diri.
Semasa ditemubual, pihak hospital mendapati beliau mungkin berasal dari Sarawak memandangkan dirinya menyebut beberapa nama tempat di Sarawak seperti Serian, Sebuyau dan Tabuan.
Selain itu, ketika ditanya tentang namanya, jawapan pesakit ini sentiasa berubah, ada kalanya beliau menyebut nama beliau sebagai Jamayee dan juga Rafisah.
Sekiranya ada yang mengenali pesakit ini, sila berhubung dengan Jabatan Kerja Sosial Perubatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah menerusi Pegawai Kerja Sosial Perubatan, Naomi Anne Masilamany, di talian 03 – 33756183 atau 33757000 sambungan 1190 .-TAMAT-
Sumber: Hantaran media sosial Jabatan Penerangan Sarawak di akaun Sarawak Nang Best!