BUKU ini menceritakan sejarah asal usul masyarakat Iban atau Dayak Laut yang berasal dari Kalimantan, Indonesia sebelum berhijrah ke Sarawak melalui jalan utama Sungai Kapuas.
Penempatan awal mereka adalah di Sri Aman sebelum menyebar ke seluruh bahagian di Sarawak dan menjadi etnik peribumi terbesar di Sarawak.
Terdapat tujuh etnik Iban di Sarawak termasuk Iban Skrang, Iban Miri-Bintulu-Limbang, Iban Saribas, Iban Batang Rajang, Iban Undop, Iban Lemanak dan Iban Malikin.
Masyarakat ini mempercayai kewujudan kuasa luar biasa yang dianggap sebagai ‘petara’ (tuhan) seperti dewa, dewi, hantu, semangat baik dan jahat serta roh nenek moyang.
Membaca lanjut buku ini, jelas bahawa aspek kehidupan masyarakat Iban banyak dipengaruhi kepercayaan tersebut.
Mereka melakukan ritual pemujaan untuk menjaga dan menghormati kewujudan kuasa tersebut bagi mengelak sebarang malapetaka.
Ia dikenali sebagai “ritual miring” bertujuan memohon kebaikan, pengampunan, kebenaran, keberkatan, perlindungan, penyatuan semula dan kedamaian.
Buku ini turut menceritakan tentang pengaruh “bunyi burung” dalam banyak aspek kehidupan masyarakat Iban.
Mereka mempercayai ramalan seperti bunyi burung sebagai amaran, tanda atau mesej yang menentukan nasib sebelum mereka melakukan kegiatan harian.
Selain bunyi burung, bunyi lain seperti ranting jatuh, mimpi, tanah dan sebagainya turut diambil kira.
Bunyi ini sangat mempengaruhi aspek kehidupan seharian, pembinaan rumah panjang, adat perkahwinan, peperangan, menanam padi, menenun pua kumbu dan sebagainya.
Jika bunyi tersebut diendahkan, maka ia boleh mendatangkan malapetaka seperti musim kemarau, banjir, kekurangan sumber makanan, tanah runtuh, wabak penyakit, kematian, kebuluran dan sumpahan buruk.
Justeru, untuk meneutralkan bahaya atau kejadian buruk tersebut, mereka harus melakukan ritual miring yang dikenali sebagai “adat beburung”.
TUJUAN RITUAL MIRING
Penulis menjelaskan beberapa tujuan masyarakat Iban melaksanakan ritual miring.
Ritual dilaksanakan apabila menerima arahan daripada kuasa luar biasa termasuk roh nenek moyang melalui mimpi bagi mengelak sebarang malapetaka.
Seterusnya apabila mereka mendapat azimat (pengaruh) daripada kuasa luar biasa dan apabila mereka ingin menyampai sesuatu hajat semasa upacara Gawai.
Selain itu, ritual ini dilaksanakan untuk memberi penghormatan kepada kuasa luar biasa serta semangat suci seperti Orang Panggau, Bunsu Antu dan roh nenek moyang.
Oleh itu, disiplin, ketelitian dan tatatertib tinggi amat diperlukan dalam melaksanakan ritual ini bagi mengelak sebarang malapetaka sekiranya lalai.
Oleh itu, hanya orang tertentu dapat melaksanakan ritual seperti lemambang (penyair), bomoh, ketua kayu burung, ketua rumah, ketua Gawai dan ketua piring.
Begitu juga dalam aspek penyediaan bahan dan peralatan, hanya boleh dilakukan oleh golongan wanita berstatus tertentu – mahir menenun pua kumbu.
Bahan dan peralatan digunakan dalam ritual miring sangat penting sebagai simbol penyembahan terhadap kuasa luar biasa.
Peralatan ritual miring ialah pua kumbu, seregang atau kelingkang (diperbuat dari buluh), teresang, talam, mangkuk, pinggan dan sebagainya.
Manakala, bahan seperti tuak, ayam, babi, daun sirih, telur, buah pinang, tembakau, penganan iri (penyaram), daun ruku apung (rokok), nasi pulut, ketupat dan rendai (bertih padi) digunakan.
Bahan ini dikenali sebagai ‘piring’, iaitu makanan disajikan kepada kuasa luar biasa sebagai tanda berterima kasih, memohon pengampunan atas perlanggaran dan berkomunikasi dengan mereka.
Ritual tersebut turut diiring jalai pengap (mentera), timang (ayat suci) serta bebiau menggunakan ayam dan ini hanya dilakukan oleh lemambang.
Sebagian ritual miring turut diiring pukulan gong, tawak dan gendang untuk menjemput kedatangan kuasa luar biasa dalam ritual berkenaan dan ini dilakukan oleh tukang gendang.
Ritual miring dikaitkan dengan banyak perayaan seperti Gawai Kenyalang, Gawai Burung, Gawai Kelingkang.
SEMAKIN DILUPAKAN
Ritual miring semakin terhakis dan perkara tersebut dibincangkan pada pengakhiran buku ini.
Antara agen penghakis amalan ritual ini seperti perubahan zaman, pertembungan budaya, kedatangan agama besar serta arus pemodenan dan pembangunan pada masa sekarang.
Hal ini banyak mempengaruhi ritual miring dan tatacara pelaksanaannya serta menyebabkan kepentingan ritual tersebut dalam masyarakat Iban tidak seperti dahulu.
Perubahan budaya pelaksanaan ritual miring dapat dilihat dari aspek lokasi, keperluan semasa, pengunaan pua kumbu, masa, pembinaan dan bahan digunakan.
Misalnya, pada masa dahulu, masyarakat Iban melakukan ritual miring di rumah panjang, kawasan huma dan hutan tebal, namun kini ritual tersebut dilakukan di dewan besar, kawasan perumahan dan sebagainya.
Faktor kemasukan agama besar seperti Kristian dan Islam menjadi penghalang.
kepada pelaksanaan ritual miring kerana dipercayai bertentangan dengan ajaran tersebut.
Begitu juga dengan aspek kemajuan sains dan teknologi, generasi muda lebih mempercayai faktor sains berbanding kepercayaan lama yang diamalkan nenek moyang mereka.
Selain itu, kebanyakan generasi muda sekarang tinggal di bandar menyebabkan mereka kurang terdedah dengan ritual miring.
Sikap genarasi muda kurang mengambil peduli tentang ritual ini menyebabkannya semakin terhakis.
Oleh itu, bagi mengatasi masalah ini, generasi muda Iban harus mempelajari warisan adat mereka sebagai identiti dan budaya masayarakat.
Manakala, pakar dalam ritual miring harus menurunkan ilmu mereka kepada generasi muda untuk kelangsungan warisan adat ini.