Wartawan, anugerah dan tanggungjawab

“KITA mesti berjalan bersama-sama. Untuk itu, Sarawak telah mendapat manfaat daripada kerjasama antara kita.”

Demikian kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada Malam Anugerah Kewartawanan Kenyalang Ke-32 di Kuching Sabtu lalu.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak akan terus menjadikan media sebagai rakan dalam mentransformasikan negeri, masyarakat dan hala tuju pembangunan.

Kewujudan media, terutama yang bersifat arus perdana, adalah seiring dengan pemerintah, sebagai penyebar maklumat penting kerajaan untuk dihebahkan kepada khayalak masyarakat.

Ia adalah lumrah dunia media dan kerajaan di serata dunia. Media arus perdana akan terus memainkan peranannya, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang ini, yang menyaksikan kemunculan pelbagai maklumat yang boleh menimbulkan gangguan dan kekacauan dalam kalangan masyarakat setempat mahupun sejagat.

Oleh itu, media utama akan bertindak sebagai benteng, menangkis segala maklumat yang tidak benar, atau rekaan semata-mata. Ini kerana wartawan media arus perdana, cukup terlatih, untuk menulis, mengupas dan mengkritik, berlandaskan etika kewartawanan, tidak melampaui batas terutama yang berkaitan dengan agama dan kaum.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg

Itulah yang membezakan antara wartawan tulen dengan wartawan palsu.

Oleh itu, media utama akan terus wujud sampai bila-bila selagi adanya pemerintah, kerana kedua-duanya umpama tebing dengan aur, saling memerlukan.

Platform yang digunakan mungkin berubah, lebih kepada digital daripada konvensional, tetapi fungsinya kekal sama. Yang pasti, kerjaya wartawan amat penting, kerana ia sentiasa seiring dengan pembangunan sesebuah negeri atau negara.

Oleh itu, sumbangan golongan ini wajar dihargai, demi menyemarakkan lagi dunia kewartawanan yang tidak pernah lekang daripada dugaan dan cabaran.

Dalam konteks Sarawak, Anugerah Kewartawanan Kenyalang yang mencecah usia 32 tahun Sabtu lalu merupakan pentas bagi golongan ini untuk menonjolkan bakat dan keupayaan masing-masing, yakni sebagai medan persaingan sihat untuk memperagakan kemahiran dan mutu penulisan masing-masing.

Anugerah ini bukanlah calang-calang, kerana mengutamakan kualiti, keaslian, rangsangan dan kesan, lebih-lebih lagi yang bersifat insani, kemanusiaan yang memberi kebaikan kepada masyarakat sekitar.

Malah habuannya juga cukup lumayan. Pemenang utama untuk setiap kategori membawa pulang RM3,000 diikuti pemenang kedua (RM2,000) dan ketiga RM1,000.

Wartawan akhbar ini misalnya, telah membolot 23 anugerah, pencapaian yang boleh dikatakan cemerlang, kerana ini merupakan musim pertama Suara Sarawak menyertai pertandingan tersebut.

Lebih menarik seorang wartawan muda akhbar ini meraih wang terkumpul, RM11,000. “Saya langsung tidak menyangka menang sebanyak ini. Sudah pasti ia akan menambahkan semangat saya untuk terus gigih berusaha selepas ini,” kata wartawan tersebut.

Biasanya kemenangan seumpama ini turut mendapat ganjaran daripada organisasi, dalam bentuk insentif… malah mungkin juga kenaikan gaji, kerana telah mengharumkan nama akhbar.

Yang pasti, ia berfungsi untuk memotivasikan kaum wartawan untuk lebih komited dan bersemangat pada masa akan datang. Bagaimanapun, menang anugerah bukanlah matlamat utama kerjaya ini.

Ia hanyalah sebahagian kecil, kerana apa yang lebih penting ialah kegigihan wartawan itu sendiri dalam mengupas dan menyelidik sesuatu isu penting, untuk tatapan pembaca.

Ia lebih kepada tanggungjawab sebagai wartawan, demi pembaca dan imej akhbar yang diwakili. Itulah kepuasan sebenar, daripada memenangi anugerah.

Oleh itu, kepuasan sebagai wartawan tiada titik noktah, ia akan berterusan selagi berkhidmat dalam bidang ini. Tanpa wartawan dunia kelihatan sunyi dan sepi.

Suara Sarawak