Wartawan dan cabaran

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

PADA petang 9 Mei lalu, seorang wartawan video agensi berita global Perancis, Agence France-Presse (AFP), Arman Soldin, 32, maut akibat serangan roket ketika membuat liputan perang bersama-sama askar Ukraine, berhampiran bandar Bakhmut, timur Ukraine.

Namun empat lagi wartawan terselamat. Bakhmut merupakan lokasi pertempuran sengit askar Rusia dan tentera Ukraine selama berbulan-bulan.

Kota yang pernah dihuni sekitar 70,000 penduduk itu, kini bagaikan padang jarak padang tekukur, hampir musnah sepenuhnya sejak pencerobohan Rusia.

Menurut Reporters Without Borders, enam wartawan terbunuh di Ukraine tahun lepas, manakala Soldin ialah wartawan kedua yang meninggal dunia tahun ini ketika membuat liputan perang di Ukraine.

Sementara itu, pada 23 Februari lalu seorang wartawan televisyen tempatan dan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun mati ditembak di kawasan kejiranan Florida, Amerika Syarikat.

Sepanjang 30 tahun kebelakangan ini, hampir 2,500 wartawan dan petugas media dari seluruh dunia terbunuh ketika bertugas.

Sejak 1990 dan negara paling teruk ialah Iraq susulan peperangan dengan Amerika Syarikat dan British. Selepas itu Filipina. Dua negara ini adalah yang terburuk bagi profesion wartawan.

Mexico turut berada dalam senarai negara bahaya. Dunia kewartawanan penuh cabaran dan dugaan, walaupun ada kalanya digambarkan penuh dengan warna, kerana ia boleh bertukar menjadi warna hitam.

Tetapi atas dasar tugas dan tanggungjawab, demi informasi terkini, mereka sanggup bergadai nyawa.

Sebagai wartawan yang bertugas di bumi Malaysia, kita harus bersyukur, kerana tidak perlu menghadapi situasi segetir itu.

Malah wartawan turut diraikan pada 29 Mei setiap tahun, Hari Wartawan Nasional (HAWANA).

Yang pasti, cabaran wartawan masa kini, bukan sekadar di medan perang, tetapi juga di alam maya, dengan munculnya pelbagai maklumat tanpa henti dari serata dunia yang sentiasa berada di hujung jari.

Ia menjadi pesaing utama terhadap media yang diwakili wartawan, khususnya media arus perdana, yang menjadi nadi dan integriti sesebuah negara.

Telefon pintar misalnya, merupakan alat utama penyaluran maklumat yang menguasai sekitar 98.7 peratus rakyat Malaysia, berbanding komputer riba 37.9 peratus dan komputer peribadi, hanya 16.2 peratus.

Selain Facebook, Twitter juga merupakan platform komunikasi penting terutama kepada golongan muda.

WhatsApp pula menduduki tangga teratas dengan 98.7 peratus penguasaan sebagai aplikasi komunikasi utama, diikuti oleh Facebook Messenger sebanyak 40.1 peratus dan Telegram 40.1 peratus. Bips dan ‘Tik-tok’ juga menjadi wadah komunikasi popular.

Seiring dengan kemajuan teknologi terkini, tidak dinafikan media sosial mengambil alih peranan media tradisional sebagai penyampai maklumat dalam kalangan rakyat.

Oleh kerana media sosial menjadi sumber utama generasi sekarang untuk mendapatkan maklumat dan berita, maka media tradisional harus merentas sempadan kebiasaan, dalam menampilkan berita, rencana untuk menarik perhatian pembaca, asalkan tidak tergelincir daripada landasan etika.

Ini bermakna organisasi media perlu menyelami kehendak pembaca, dengan menggabungkan teknologi baharu, sebagai asas kekuatan, bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.

Oleh itu, wartawan hendaklah melengkapkan diri dengan sentiasa bersedia bekerja tanpa arahan, bijak membuat keputusan sendiri. Wartawan yang berdikari akan menjadi nilai tambah terhadap dirinya, dan organisasi.

Misalnya, berupaya bergerak solo, dan boleh bekerja di mana-mana lapangan dan dalam apa-apa jua situasi, berbekalkan peralatan teknologi terkini dan kemahiran yang diperlukan.

Kalau dahulu wartawan hanya menulis berita, tetapi kini, wartawan juga harus menguasai teknologi teks, audio dan video.

Dengan kebolehan dan kepakaran, maka seseorang wartawan itu mampu bersaing, sekali gus sentiasa menempatkan diri dalam pasaran kerja yang semakin mengecil, tidak lagi seperti 10 hingga 15 tahun yang lalu, apatah lagi dengan munculnya kecerdasan buatan (AI), yang dikatakan sebagai ancaman terhadap wartawan.

Namun ia harus dipandang dari sudut positif, bahawa wartawan boleh bekerja menggunakan peralatan itu untuk menambah baik tugasan dan memaksimumkan potensi mereka.

Mislanya, AI boleh melakukan transkripsi, maka wartawan akan mempunyai lebih masa untuk tugas yang memerlukan pemikiran tinggi.

Sementara itu, wartawan di Sarawak cukup beruntung, bukan sahaja menerima insentif RM1,500 daripada Kerajaan Negeri ketika musim Covid-19, tetapi juga bakal dibantu untuk meneruskan pengajian di peringkat tertinggi.

Pada sambutan HAWANA 2023 Sarawak semalam, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjelaskan bahawa Kerajaan Sarawak sedia membantu wartawan di negeri ini untuk meningkatkan tahap profesionalisme mereka.

“Bagi menaik taraf laporan wartawan, mereka perlu mempunyai latar belakang bagi semua bidang khususnya sains, kewangan dan perbankan serta ekonomi.

Kita akan membantu menerusi Yayasan Sarawak,” katanya.

Organisasi media juga harus memberi galakan dan rangsangan, terhadap wartawan untuk meneruskan perjuangan dalam bidang ini, dengan meningkatkan prestasi diri, yakni ganjaran atau habuan dari segi kenaikan gaji atau elaun khas.

Generasi wartawan sentiasa bertukar ganti, tetapi prinsip dan etika dalam penulisan tidak pernah berubah, sebagai penyalur informasi berdasarkan fakta yang nyata dan jelas daripada sumber dipercayai.

Malah wartawan sejati, yakni yang bertauliah, menjadi benteng negara, untuk menangkis segala laporan palsu yang boleh merosakkan bangsa, agama dan negara.

Oleh itu, peranan wartawan cukup besar, sejak pramerdeka hingga kini, bukan sekadar penegak kebenaran, tetapi sebagai jagawan serta pembangkit semangat nasionalisme, lebih-lebih lagi pada era awal kemerdekaan hingga era digital.

Oleh itu, HAWANA cukup sinonim, sebagai detik penting untuk menghargai sumbangan wartawan, yang berada di belakang tabir, sentiasa menyumbang khidmat bakti melalui mata pena, demi keamanan dan kemakmuran negara.

Yang pasti, apa yang kita nikmati sepanjang lebih separuh abad merdeka, juga atas sumbangan wira tidak didendang ini.

Dunia kewartawanan akan terus mekar dan mencabar, seiring peredaran masa.

Seperti yang pernah ditegaskan oleh bapa kewartawanan Malaysia, Allahyarham A. Samad Ismail; “Wartawan generasi selepas merdeka mesti mempunyai komitmen yang kuat terhadap citacita mendidik dan membentuk sikap serta pemikiran rakyat agar berjuang mengubah nasib mereka untuk bersama-sama membangunkan sebuah negara yang maju dan besar, suatu bangsa yang berpadu demi menjamin masa depan kita yang gemilang.”

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Si duri tajam

DURIAN bukan sekadar pemegang takhta raja buah, tetapi juga raja

Bersatu hati

YANG di-Pertuan Agong AlSultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah cukup

Masih ada peluang

HANYA satu kemenangan dan empat seri dalam 20 perlawanan, menggambarkan

Nasib akhbar cetak

SEPERTI yang dijangka, akhbar cetak sekarang ini semakin kurang mendapat

Lain-lain

Si duri tajam

DURIAN bukan sekadar pemegang takhta raja buah, tetapi juga raja