Wartawan ditumbuk merakam kemalangan

KUCHING: Seorang wartawan dari akhbar tempatan ditumbuk oleh tiga lelaki ketika merakamkan kemalangan maut di kawasan tapak projek perumahan belakang Stesen Minyak Petronas, Ulu Bintawa semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, insiden terbabit berlaku ketika mangsa, 45, hadir di lokasi membuat liputan kemalangan yang berlaku sekitar jam 2.50 petang.

“Ketika kejadian mangsa didatangi dan dimarahi oleh tiga orang lelaki kerana merakamkan mangsa maut kemalangan di tempat kejadian.

“Ketiga-tiga suspek meminta supaya mangsa memadamkan gambar yang telah diambil menyebabkan berlaku pertengkaran di antara mereka sebelum suspek bertindak agresif dan menumbuk mangsa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dedah beliau, suspek dikatakan marah selepas mendapati masih terdapat gambar mangsa maut di dalam telefon bimbit milik mangsa.

Katanya, mangsa turut diberi amaran agar tidak menyiarkan kejadian terbabit.

Menurut Awang Din, pihaknya telah menerima laporan dan keterangan daripada mangsa berhubung insiden terbabit.

Tegasnya kes masih lagi dalam siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 506 Kanun Keseksaan.