ARTIKEL

Anwar Ibrahim (tiga kanan) menyampaikan Anugerah HAWANA 2024 kepada wartawan veteran, James Alexander Ritchie (kiri) pada Majlis Kemuncak HAWANA 2024, hari ini yang turut dihadiri Abang Johari (tiga kiri), Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (dua kanan), Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol dan Pengerusi BERNAMA, Datuk Seri Wong Chun Wai. - Foto: Ramidi Subari

Wartawan veteran James Ritchie terima Anugerah HAWANA 2024

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: James Alexander Ritchie, atau lebih dikenali sebagai James Ritchie, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 pada majlis kemuncak sambutan di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan anugerah tersebut kepada James, 74, yang setia menabur bakti dalam dunia kewartawanan selama lima dekad lebih sejak 1971.

Bermula sebagai wartawan kadet ‘Straits Times’ di ibu negara ketika berusia 23 tahun, beliau perlahan-lahan ‘mendaki’ puncak kerjaya dalam industri kewartawanan, khususnya di Sarawak, dengan menyandang beberapa jawatan media di negeri ini, antaranya Wartawan ‘NST Sarawak’ pada 1981, Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Ketua Menteri Sarawak (1998) dan Perunding Media untuk ‘Sarawak Digest’ (2022).

Jawatan lain termasuk penulis khas ‘Sarawak Tribune’ pada 2022, Penasihat Editorial dan Pengarah Eksekutif ‘Eastern Times’ (2006) dan Pengarah Eksekutif ‘New Sarawak Tribune’ (2010).

Jasanya sebagai individu ‘penting’ dalam dunia penulisan dan kewartawanan melayakkannya untuk menerima pengiktirafan, antaranya Anugerah Emas Shell Kenyalang, Anugerah Akhbar AZAM dan Anugerah Emas Ang Lai Soon.

Selain itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah HAWANA 2024 kepada Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) yang diterima oleh presidennya, Ronnie Teo, sebagai tanda penghargaan buat persatuan tersebut.

Anugerah HAWANA bertujuan mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada wartawan profesional, individu atau organisasi yang memberi sumbangan besar bukan sahaja dalam bidang kewartawanan tetapi dalam membentuk minda rakyat menerusi karya-karya yang dihasilkan.

Anugerah sulung HAWANA telah diberikan kepada Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, pada 2018, diikuti Kumpulan Karangkraf (2022) dan Datuk Lat, atau nama sebenarnya Datuk Mohd Nor Khalid (2023).

Pada majlis hari ini, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, turut menyampaikan Anugerah Apresiasi Premier Sarawak sempena HAWANA 2024 kepada tujuh penerima, iaitu jurugambar Star Media Group, Zulazhar Sheblee, bekas Ketua Pemberita RTM Sarawak, Alice Wee Siok Lian, Editor Bersekutu ‘New Sarawak Tribune’, M. Rajah, dan Wartawan Kanan ‘Malay Mail’, Sulok Tawie.

Penerima lain terdiri daripada bekas Editor Eksekutif ‘Utusan Sarawak’, William Cornelius Chan Khun Neng, bekas Pengurus Besar ‘Chinese Daily News’, Johnny Loh Kee Kong, dan Penasihat Editorial Eksekutif ‘Utusan Sarawak’, Kadir Dikoh.

HAWANA 2024 yang bertemakan ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’ berlangsung selama tiga hari sejak Sabtu lepas dan dihadiri kira-kira 1,000 tetamu yang terdiri daripada pengamal media tempatan serta antarabangsa.

Wakil persatuan, kelab wartawan tempatan dan wartawan dari 12 negara terlibat dari Singapura, Indonesia, Filipina, Brunei, Vietnam, Kemboja, Timor Leste, China, Korea Selatan, Qatar, Perancis dan Kuwait telah berhimpun di bandar raya ini yang menyaksikan pelbagai program bagi meraikan sambutan yang julung kalinya diadakan di Bumi Kenyalang.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena dengan penerbitan edisi pertama akhbar ‘Utusan Melayu’ pada 29 Mei 1939 bertujuan meraikan sumbangan pengamal media.

Perhimpunan wartawan Malaysia ini dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak dan Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA) sebagai agensi pelaksana. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU